Al-Fatihah Aziz Desa,Bekas personaliti televisyen, meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Bekas pengacara dan personaliti televisyen terkenal, Aziz Desa, 50, meninggal dunia pada jam 10.50 pagi tadi di kediaman keluarganya di Langkawi, Kedah.

Berita tersebut disahkan oleh adiknya, Azri Desa, melalui satu status di Facebook.

Allahyarham yang nama sebenarnya Abdul Azid popular sewaktu pengacara beberapa rancangan bual bicara antaranya sewaktu mengendalikan program pagi Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan TV3, disahkan menghidap masalah buah pinggang dan kencing manis Januari lalu.

Allahyarham antara pengacara pelopor program MHI pada tahun 1994, disifatkan antara pengacara yang disegani kerana kepetahannya berbicara.

Aziz juga dikenali sebagai seorang yang petah berbicara dan sentiasa bercakap dengan Bahasa Melayu yang indah rimanya, tanpa menggunakan skrip.

 Penguasaan bahasanya cukup baik dan tidak hairanlah mengapa beliau kemudiannya dipindahkan ke TV3 pada 1987 sebagai penolong penerbit dan kemudiannya menjadi hos rancangan Seulas Pinang ketika itu bersama Normala Samsuddin.

 Dan apabila TV3 memperkenalkan talk show pagi pada 1994 melalui MHI, Aziz juga antara pengacara terawal selain Christine Ling, Mahathir Lokman, dan Hasbullah Awang.

Pastinya ramai yang masih ingat dengan tagline beliau, "cermin cermin diri" sebagai Mat Cermin dan juga ruangan yang sangat popular kendaliannya, Jejak Kasih.

Kata-kata keramatnya, "Yang jauh kita dekatkan, yang dekat kita mesrakan, yang mesra kita serasikan," akan terus mengingatkan kita kepada Aziz. Selain TV3, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai pengacara bersama Astro Oasis melalui rancanganZuriat Kita dan Dahsyat 13.

Profilnya dalam bidang penyiaran juga pernah dilebarkan sebagai penyampai radio di Radio Langkawi, yang merupakan kampung halamannya.
Difahamkan, Allahyarham juga seorang ahli perniagaan dan menguruskan dua buah syarikat, Aziz Desa Holidays & Consultancy dan Media Glokal Sendirian Berhad.

0 Response to "Al-Fatihah Aziz Desa,Bekas personaliti televisyen, meninggal dunia"

Post a Comment